Senarai Survey Untuk menyertai survey, sila klik pada tajuk survey. Terima kasih kerana meluangkan masa..
Kajian penggunaan Kad Kesetiaan
Kajian penggunaan Kad Kredit

Bisnes & Islam

Agama Islam adalah agama yang cukup lengkap yang menyuruh umatnya supaya beramal, berusaha dan bekerja untuk sara hidup sama ada untuk kepentingan dunia ataupun akhirat. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Qashash ayat 77 yang tafsirnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebaikan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia”.

Salah satu usaha terpuji yang sangat digalak-kan oleh Islam ialah berniaga, kerana ia sangat menguntungkan serta memberi kemuliaan di dunia dan di akhirat. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menjelaskan mengenai kelebihan yang diperolehi oleh ahli-ahli perniagaan yang antaranya mereka itu boleh duduk dalam satu peringkat di Hari Akhirat dengan Nabi-nabi, para siddiqin dan para pejuang Islam yang mati syahid sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

“Dari Abi Syaid Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Peniaga yang benar lagi amanah itu tempatnya bersama Nabi-nabi, para siddiqin dan pejuang agama yang mati syahid”.(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Marilah kita sama-sama beringat, jauhilah dan janganlah sekali-kali berjual beli secara riba, kerana riba itu suatu dosa besar dan bahayanya juga amat besar. Pengharaman riba adalah semata-mata demi melindungi kepentingan manusia, baik dari segi moral, sosial mahupun perekonomian dan pengharamannya merangkumi segala bentuk, tidak kira sama ada banyak atau sedikit, berlipat ganda atau tidak. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 130 yang tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.

Islam juga mengharamkan segala bentuk penipuan, baik dalam setiap urus niaga mahupun segala macam muamalah atau urusan sesama manusia, tetapi malangnya masih terdapat sesetengah orang di kalangan masyarakat kita yang sanggup menipu dan memperdaya orang lain demi mengaut keuntungan.

Dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

“Dari Hakim bin Hizam Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Dua orang sedang berjual beli boleh membuat pilihan selagi keduanya belum berpisah, jika keduanya berlaku jujur dan menjelaskan ciri-ciri dagangan mereka, maka akan diberkati dalam jual beli mereka. Dan jika keduanya berdusta dan menyembunyikan ciri-ciri dagangan mereka, maka akan dihapuskan berkat jual beli mereka itu”.(Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Oleh itu, marilah kita sama-sama mensyukuri rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita dan berusaha mencarinya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu wataala jua.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nuur ayat 37 yang tafsirnya:

“Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan Hari Kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan”.